Isnin, 27 April 2009

Program Bersama YAB. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad


Pada 19 April lalu, seperti dijanjikan, Y.A. Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad telah tiba tepat jam 10 pagi di Kompleks Sukan Rakan Muda Dong untuk menjayakan program ucaptama bertajuk ‘Arah Tuju Melayu Muda’ yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Raub. Kehadiran Y.A. Berbahagia Tun Dr. Mahathir telah disambut lebih 2,000 anggota masyarakat sekitar Raub dan juga dari luar termasuk dari Kuala Lumpur.

Program tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Raub, Saudara Arif Fadzilah Hj. Abu Samah dan diikuti ucapan Ketua Umno Bahagian Raub yang juga ADUN Dong iaitu YB. Dato’ Hj. Shahiruddin Ab. Moin. Kemudiannya majlis diteruskan dengan ucaptama daripada Y.A. Berbahagia Tun Dr. Mahathir yang berlangsung lebih sejam.

Dalam ucaptamanya, Y.A. Berbahagia Tun Dr. Mahathir telah memberi amanat dan pesanan yang amat berharga buat hadirin yang hadir. Beliau turut mengulas beberapa isu dan perkara yang boleh dijadikan pengajaran dan pedoman. Antaranya adalah berkisar kepada punca Melayu dijajah; kelemahan orang Melayu dulu dan sekarang; kepentingan menguasai ilmu, kemahiran dan kepakaran; serta bagaimana orang Melayu boleh bangkit untuk mencapai kemenangan.

Selepas ucaptama, diadakan pula sesi dialog antara Y.A. Berbahagia Tun Dr. Mahathir dengan pada hadirin. Pelbagai bentuk soalan diajukan oleh hadirin dan kesemuanya dijawab dengan penuh kesungguhan oleh Y.A. Berbahagia Tun Dr. Mahathir. Rata-rata hadirin yang hadir amat berpuas hati dengan penganjuran program itu yang memberi peluang dan kesempatan kepada mereka untuk bersua muka dengan lebih dekat dengan negarawan ulung negara, Y.A. Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Terima kasih kepada semua yang hadir. Bertemu lagi dalam program Pemuda Umno Raub pada masa depan.

Tiada ulasan:

PEMUDA UMNO RAUB © 2008. Design by :zaki_raub@yahoo.com Sponsored by: Tutorial87 Commentcute