Jumaat, 3 April 2009

Anwar Ibrahim Terlalu Rakus


Saya rasa sedih dan kesal apabila membaca Utusan Malaysia semalam (03 April 2009), di mana Anwar Ibrahim menyatakan bahawa tidak salah untuk penganut agama lain menyebut nama Allah kerana ia hak agama masing-masing. Malah, katanya di Malaysia, penggunaan nama Allah tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain disebabkan oleh UMNO. Sedangkan kata Anwar lagi, Nik Aziz sendiri pernah memberitahu bahawa tiada masalah jika penganut agama lain menggunakan kalimah Allah. (Anwar berkata demikian ketika berkempen untuk calon PKR di Pekan Lubok Antu sempena pilihan raya kecil Batang Ai).

Saya sedih dan kesal kerana Anwar sanggup memutarbelitkan apa sahaja isu demi kepentingan politik beliau dan partinya. Lebih menyedihkan apabila soal Islam, khususnya kalimah Allah, sanggup dibicarakan mengikut perspektif sendiri, semata-mata untuk memancing undi. Jelas sekali Anwar sanggup melakukan apa sahaja tanpa memikirkan natijahnya kepada Agama Islam dan orang Melayu. Inikah gelagat pemimpin yang ingin kita sokong dan sanjung?
Berbicara mengenai kalimah Allah, isu ini sebenarnya kembali hangat apabila Herald Catholic yang mewakili pihak Gereja Katolik memohon kepada kerajaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam tulisan-tulisan ajaran Kristian mereka termasuk terbitan bahasa Melayunya. Bagaimanapun Kabinet telah mengeluarkan kenyataan yang melarang isu ini diperdebatkan demi kepentingan semua pihak dan juga negara. Bagaikan tidak berpuas hati, selain mempunyai agenda tertentu serta tidak langsung memikirkan sensitiviti orang Islam, Majlis Peguam pula bertindak dangkal dengan mengadakan tinjauan pendapat di laman webnya mengenai penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam. Kini, Anwar pula cuba menari di atas pentas yang sama, walaupun tariannya nampak kekok dan memualkan.
Bagi saya tindakan menggunakan kalimah Allah ini amat berbahaya dan hanya akan mengelirukan banyak pihak. Apabila kalimah yang tidak tepat digunakan oleh mereka yang mempunyai kepentingan tertentu, ianya pasti akan membawa banyak masalah. Kalimah Allah ini amat bersangkut-paut dengan akidah Islam, yang mana ia menjadi satu pegangan yang tidak boleh diterjemah sesuka hati. Malah, Taib Azamudden Mat Taib (Pas-Baling) sendiri, yang juga bekas Imam Besar Masjid Negara ada menyatakan bahawa nama Allah berdasarkan kepercayaan (tauhid) orang Islam tidak boleh digunakan oleh bukan Islam. Ini kerana Allah yang dimaksudkan oleh agama lain adalah berbeza dengan Allah yang dimaksudkan oleh Islam.

Justeru, kepada Anwar dan juga pihak lain, janganlah isu yang seperti ini juga mahu dipolitikkan. Fikirkan lah juga sensitiviti dan kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Jangan hanya kerana untuk mencapai matlamat tertentu, kalimah Allah sanggup dijual beli. Pertahankan hak kita, berwaspada tentang niat licik pihak tertentu, dan peliharalah nasib serta masa depan generasi kita akan datang. Jangan disebabkan kegopohan, kerakusan dan kesilapan kita hari ini mengakibatkan generasi kita terpesong dan tersalah haluan.
Sekian.

Tiada ulasan:

PEMUDA UMNO RAUB © 2008. Design by :zaki_raub@yahoo.com Sponsored by: Tutorial87 Commentcute