Rabu, 15 April 2009

Orang Melayu Perlu Bersatu dan Berpadu

Ketika ini, pelbagai pihak khususnya pemimpin bukan Melayu begitu lantang mendesak pihak kerajaan yang ditunjangi UMNO untuk memenuhi permintaan dan hasrat mereka yang sememangnya jelas hanya berkisar mengenai kepentingan bangsa dan kaum mereka semata-mata. Tindakan mereka seolah-olah tidak langsung menghormati orang Melayu. Kononnya atas dasar perkongsian kuasa dan suara demokrasi, golongan pemimpin ini tanpa segan silu menyuarakan keinginan dan kehendak hati mereka sewenang-wenangnya, tanpa memikirkan langsung perasaan orang Melayu, atau kesannya kepada keharmonian dan keamanan negara.

Atas dasar ini, saya menyeru orang Melayu agar bangkit dan bersatu dalam berhadapan dengan tuntutan seperti ini. Orang Melayu perlu sedar dan insaf dengan situasi politik semasa hari ini yang cenderung mempertikai hak dan keistimewaan orang Melayu. Tiada masa lagi untuk orang Melayu bercakaran semasa sendiri. Jika orang Melayu terus lalai dan leka, pastinya kuasa politik yang dimiliki hari ini lama-kelamaan akan terhakis dan akhirnya orang Melayu menjadi bangsa asing di bumi sendiri.

Formula perlu dicari agar perpaduan dan penyatuan sesama orang Melayu dapat dipererat dan diperkukuhkan. Segala bentuk cadangan dan pandangan perlu dinilai sejujurnya demi memastikan orang Melayu berada di landasan yang betul dan kukuh untuk berdepan dengan pelbagai cabaran pada masa depan. Jika benar penyatuan antara UMNO dan PAS merupakan salah satu alternatif untuk memperkukuh hubungan orang Melayu, maka cadangan itu juga perlu diperhalusi demi survival orang Melayu.

Kepada golongan muda Melayu, sedarlah bahawa cabaran mendatang makin hebat dan penuh ranjau. Di bahu kalian terpikul amanah yang amat besar. Kalian perlu meletakkan fokus yang jelas agar haluan dan amanah ini tidak tersasar. Perkukuhkanlah jati diri dan bentengilah diri dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang berguna. Jauhilah unsur-unsur yang boleh merosakkan seperti penagihan dadah, pergaulan bebas serta aktiviti-aktiviti sosial lain yang tidak berfaedah. Sedar dan bangkitlah serta berjuanglah ke jalan yang benar. InsyaAllah, masa depan orang Melayu di negara ini akan terus terpelihara selagi generasi mudanya sedar dan insaf tentang peranan dan tanggungjawab yang perlu mereka galas.

Tiada ulasan:

PEMUDA UMNO RAUB © 2008. Design by :zaki_raub@yahoo.com Sponsored by: Tutorial87 Commentcute