Sabtu, 1 Ogos 2009

SAMPAI HATI NIK AZIZ KATA ‘PERGI JAHANAM LAH UMNO’

Pilu dan sedih betul hati saya apabila Nik Aziz berkata ‘pergi jahanam lah UMNO’, baru-baru ni. Pilu dan sedih sebab ‘ulamak atau alamak’ yang dipanggil ‘tok guru’ sanggup memaki hamun seperti itu. Apa nilai moral dan pengajaran daripada kata-kata liar Nik Aziz itu? Apa tauladannya kepada umat Islam? Apa intipati yang boleh dipelajari oleh generasi muda di sebalik kata-kata itu?

Nik Aziz sanggup memaki hamun dan menuduh UMNO telah menyimpang dari perjuangan Islam. Sedangkan kesemua orang UMNO adalah orang Melayu dan Islam yang telah berjuang sejak sekian lama untuk agama, bangsa dan negara. Sampai hati betul Nik Aziz cakap macam tu? Apa hak Nik Aziz cakap macam tu? Siapa Nik Aziz untuk labelkan sesama Islam. Biarlah Allah SWT. yang menghakimi umatnya. Bukan kita sesama manusia.

UMNO sanggup dihina dan dicerca. UMNO dicaci. Kerajaan perpaduan ditolak mentah-mentah. Walaupun jelas hasrat di sebalik penubuhan kerajaan perpaduan itu adalah untuk kebaikan orang Melayu dan Islam di negara ini. Tapi DAP yang pernah dilabel sebagai ‘syaitan’ oleh Nik Aziz pula dijadikan pakatan dan pasangan intim. Sedangkan terang-terangan kita mengetahui ‘siapa DAP’ yang sebenarnya. Kita juga tau apa ‘perjuangan’ DAP selama ini. Malah, ramai yang arif tentang pandangan DAP terhadap perjuangan PAS.

Tepuk dada, tanyalah selera.

Isnin, 27 April 2009

Program Bersama YAB. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad


Pada 19 April lalu, seperti dijanjikan, Y.A. Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad telah tiba tepat jam 10 pagi di Kompleks Sukan Rakan Muda Dong untuk menjayakan program ucaptama bertajuk ‘Arah Tuju Melayu Muda’ yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Raub. Kehadiran Y.A. Berbahagia Tun Dr. Mahathir telah disambut lebih 2,000 anggota masyarakat sekitar Raub dan juga dari luar termasuk dari Kuala Lumpur.

Program tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Raub, Saudara Arif Fadzilah Hj. Abu Samah dan diikuti ucapan Ketua Umno Bahagian Raub yang juga ADUN Dong iaitu YB. Dato’ Hj. Shahiruddin Ab. Moin. Kemudiannya majlis diteruskan dengan ucaptama daripada Y.A. Berbahagia Tun Dr. Mahathir yang berlangsung lebih sejam.

Dalam ucaptamanya, Y.A. Berbahagia Tun Dr. Mahathir telah memberi amanat dan pesanan yang amat berharga buat hadirin yang hadir. Beliau turut mengulas beberapa isu dan perkara yang boleh dijadikan pengajaran dan pedoman. Antaranya adalah berkisar kepada punca Melayu dijajah; kelemahan orang Melayu dulu dan sekarang; kepentingan menguasai ilmu, kemahiran dan kepakaran; serta bagaimana orang Melayu boleh bangkit untuk mencapai kemenangan.

Selepas ucaptama, diadakan pula sesi dialog antara Y.A. Berbahagia Tun Dr. Mahathir dengan pada hadirin. Pelbagai bentuk soalan diajukan oleh hadirin dan kesemuanya dijawab dengan penuh kesungguhan oleh Y.A. Berbahagia Tun Dr. Mahathir. Rata-rata hadirin yang hadir amat berpuas hati dengan penganjuran program itu yang memberi peluang dan kesempatan kepada mereka untuk bersua muka dengan lebih dekat dengan negarawan ulung negara, Y.A. Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Terima kasih kepada semua yang hadir. Bertemu lagi dalam program Pemuda Umno Raub pada masa depan.

Rabu, 15 April 2009

Orang Melayu Perlu Bersatu dan Berpadu

Ketika ini, pelbagai pihak khususnya pemimpin bukan Melayu begitu lantang mendesak pihak kerajaan yang ditunjangi UMNO untuk memenuhi permintaan dan hasrat mereka yang sememangnya jelas hanya berkisar mengenai kepentingan bangsa dan kaum mereka semata-mata. Tindakan mereka seolah-olah tidak langsung menghormati orang Melayu. Kononnya atas dasar perkongsian kuasa dan suara demokrasi, golongan pemimpin ini tanpa segan silu menyuarakan keinginan dan kehendak hati mereka sewenang-wenangnya, tanpa memikirkan langsung perasaan orang Melayu, atau kesannya kepada keharmonian dan keamanan negara.

Atas dasar ini, saya menyeru orang Melayu agar bangkit dan bersatu dalam berhadapan dengan tuntutan seperti ini. Orang Melayu perlu sedar dan insaf dengan situasi politik semasa hari ini yang cenderung mempertikai hak dan keistimewaan orang Melayu. Tiada masa lagi untuk orang Melayu bercakaran semasa sendiri. Jika orang Melayu terus lalai dan leka, pastinya kuasa politik yang dimiliki hari ini lama-kelamaan akan terhakis dan akhirnya orang Melayu menjadi bangsa asing di bumi sendiri.

Formula perlu dicari agar perpaduan dan penyatuan sesama orang Melayu dapat dipererat dan diperkukuhkan. Segala bentuk cadangan dan pandangan perlu dinilai sejujurnya demi memastikan orang Melayu berada di landasan yang betul dan kukuh untuk berdepan dengan pelbagai cabaran pada masa depan. Jika benar penyatuan antara UMNO dan PAS merupakan salah satu alternatif untuk memperkukuh hubungan orang Melayu, maka cadangan itu juga perlu diperhalusi demi survival orang Melayu.

Kepada golongan muda Melayu, sedarlah bahawa cabaran mendatang makin hebat dan penuh ranjau. Di bahu kalian terpikul amanah yang amat besar. Kalian perlu meletakkan fokus yang jelas agar haluan dan amanah ini tidak tersasar. Perkukuhkanlah jati diri dan bentengilah diri dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang berguna. Jauhilah unsur-unsur yang boleh merosakkan seperti penagihan dadah, pergaulan bebas serta aktiviti-aktiviti sosial lain yang tidak berfaedah. Sedar dan bangkitlah serta berjuanglah ke jalan yang benar. InsyaAllah, masa depan orang Melayu di negara ini akan terus terpelihara selagi generasi mudanya sedar dan insaf tentang peranan dan tanggungjawab yang perlu mereka galas.

Jumaat, 10 April 2009

Selamat Kembali Y.A Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad

Saya percaya, kebanyakan orang khususnya warga Umno dan BN serta anggota masyarakat secara keseluruhannya berasa amat gembira dan ceria ketika Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir bin Mohamad mengambil keputusan untuk kembali semula ke pangkuan Umno, baru-baru ini. Penyertaan semula Tun Dr. Mahathir dilihat bukan sahaja mampu memperkasakan UMNO dan Barisan Nasional (BN), malah berupaya mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan memandangkan pengaruh Tun Dr. Mahathir yang masih kuat dan kukuh dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini. Lebih daripada itu, kemasukan semula Tun Dr. Mahathir juga memberi satu makna yang cukup besar dalam mengembalikan keyakinan ahli UMNO untuk terus menyokong kepimpinan parti.


Bagi saya, UMNO dan BN bagaikan mendapat semangat baru untuk terus berjuang mempertahankan agama, bangsa dan tanah air dengan kembalinya Tun Dr. Mahathir ke pangkuan UMNO. Saya juga menganggap kepulangan Tun Dr. Mahathir sebagai pembuka tirai untuk melihat para pemimpin dahulu dan sekarang bersama-sama berusaha menegakkan UMNO sebagai wadah perjuangan untuk orang Melayu dan rakyat seluruhnya.. Malah, ia turut memberi kekuatan dan perpaduan kepada UMNO selain detik permulaan yang baik kepada Presiden UMNO, yang juga Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi memimpin dan mentadbir negara.


Sesungguhnya, UMNO sentiasa memerlukan tokoh politik berpengalaman seperti Tun Dr. Mahathir untuk membawa kestabilan dalam UMNO yang menjadi tulang belakang kepada BN. Saya amat berharap keputusan Tun Dr. Mahathir ini akan turut mendorong ahli UMNO yang keluar parti atau mengambil sikap atas pagar sebelum ini, akhirnya kembali menyokong UMNO.

Hidup Tun Dr. Mahathir, Hidup UMNO, Hidup BN.

Jumaat, 3 April 2009

Anwar Ibrahim Terlalu Rakus


Saya rasa sedih dan kesal apabila membaca Utusan Malaysia semalam (03 April 2009), di mana Anwar Ibrahim menyatakan bahawa tidak salah untuk penganut agama lain menyebut nama Allah kerana ia hak agama masing-masing. Malah, katanya di Malaysia, penggunaan nama Allah tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain disebabkan oleh UMNO. Sedangkan kata Anwar lagi, Nik Aziz sendiri pernah memberitahu bahawa tiada masalah jika penganut agama lain menggunakan kalimah Allah. (Anwar berkata demikian ketika berkempen untuk calon PKR di Pekan Lubok Antu sempena pilihan raya kecil Batang Ai).

Saya sedih dan kesal kerana Anwar sanggup memutarbelitkan apa sahaja isu demi kepentingan politik beliau dan partinya. Lebih menyedihkan apabila soal Islam, khususnya kalimah Allah, sanggup dibicarakan mengikut perspektif sendiri, semata-mata untuk memancing undi. Jelas sekali Anwar sanggup melakukan apa sahaja tanpa memikirkan natijahnya kepada Agama Islam dan orang Melayu. Inikah gelagat pemimpin yang ingin kita sokong dan sanjung?
Berbicara mengenai kalimah Allah, isu ini sebenarnya kembali hangat apabila Herald Catholic yang mewakili pihak Gereja Katolik memohon kepada kerajaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam tulisan-tulisan ajaran Kristian mereka termasuk terbitan bahasa Melayunya. Bagaimanapun Kabinet telah mengeluarkan kenyataan yang melarang isu ini diperdebatkan demi kepentingan semua pihak dan juga negara. Bagaikan tidak berpuas hati, selain mempunyai agenda tertentu serta tidak langsung memikirkan sensitiviti orang Islam, Majlis Peguam pula bertindak dangkal dengan mengadakan tinjauan pendapat di laman webnya mengenai penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam. Kini, Anwar pula cuba menari di atas pentas yang sama, walaupun tariannya nampak kekok dan memualkan.
Bagi saya tindakan menggunakan kalimah Allah ini amat berbahaya dan hanya akan mengelirukan banyak pihak. Apabila kalimah yang tidak tepat digunakan oleh mereka yang mempunyai kepentingan tertentu, ianya pasti akan membawa banyak masalah. Kalimah Allah ini amat bersangkut-paut dengan akidah Islam, yang mana ia menjadi satu pegangan yang tidak boleh diterjemah sesuka hati. Malah, Taib Azamudden Mat Taib (Pas-Baling) sendiri, yang juga bekas Imam Besar Masjid Negara ada menyatakan bahawa nama Allah berdasarkan kepercayaan (tauhid) orang Islam tidak boleh digunakan oleh bukan Islam. Ini kerana Allah yang dimaksudkan oleh agama lain adalah berbeza dengan Allah yang dimaksudkan oleh Islam.

Justeru, kepada Anwar dan juga pihak lain, janganlah isu yang seperti ini juga mahu dipolitikkan. Fikirkan lah juga sensitiviti dan kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Jangan hanya kerana untuk mencapai matlamat tertentu, kalimah Allah sanggup dijual beli. Pertahankan hak kita, berwaspada tentang niat licik pihak tertentu, dan peliharalah nasib serta masa depan generasi kita akan datang. Jangan disebabkan kegopohan, kerakusan dan kesilapan kita hari ini mengakibatkan generasi kita terpesong dan tersalah haluan.
Sekian.

Ahad, 22 Mac 2009

PROGRAM ' BERSAMA TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD - ARAH TUJU MELAYU MUDA'


Pemuda UMNO Bahagian Raub akan mengadakan satu program - 'Bersama Y.A. Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad' pada 19hb April 2009 di Dewan Kompleks Sukan Rakan Muda, Dong, Raub, Pahang. Dalam program tersebut, beliau akan menyampaikan satu ucaptama yang bertajuk 'Arah Tuju Melayu Muda'.

Maklumat program adalah seperti berikut :-


Tarikh
19 April 2009 (Ahad)
Masa
9.00 pagi hingga 1.00 petang

Tempat
Dewan Kompleks Sukan Rakan Muda, Dong, Raub

Ucaptama
Y.A. Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad
'ARAH TUJU MELAYU MUDA'

Aturcara

9.00 pagi
Kehadiran Tetamu
9.15 pagi
Ketibaan Tetamu Kenamaan
9.20 pagi
Ketibaan YH Dato' Abd. Muin
Pegawai Daerah Raub
9.30 pagi
Ketibaan YB Dato' Hj. Shahiruddin Ab. Moin
Ketua UMNO Bhg. Raub/ADUN Dong
9.45 pagi
Ketibaan Y.A. Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad
Mantan Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia
10.00 pagi
Selawat
Nyanyian Lagu 'Negaraku' dan Lagu UMNO 'Bersatu'
Ucapan Aluan Pengerusi Majlis
Bacaan Doa
Ucapan Ketua Pemuda UMNO Bhg. Raub - Sdr. Arif Fadzilah Hj. Abu Samah
Ucapan Ketua UMNO Bhg. Raub - YB Dato' Hj. Shahiruddin Ab. Moin
Ucaptama 'Arah Tuju Melayu Muda' oleh Y.A.Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mphamad
Dialog
Penyampaian Cenderahati
12.30 tghari
Jamuan dan bersurai

SELURUH MASYARAKAT MELAYU DI RAUB DI JEMPUT UNTUK MENGHADIRI PROGRAM INI






PEMUDA UMNO RAUB © 2008. Design by :zaki_raub@yahoo.com Sponsored by: Tutorial87 Commentcute